Thursday, 9 June 2011

MAKNA SEBUAH KENDURI

Foto foto di ambil dari album adik bongsu saya - Jai.

Sabtu 4hb Jun 2011..satu hari dari hari hari dalam musim cuti sekolah. Hari penuh bermakna ini berlansungnya majlis kenduri kahwin anak saudara saya Munirah yang nama manjanya Munick di kalangan kawan kawannya. Tetapi saya memanggilnya Kakak kerana dia anak perempuan pertama dari empat adik beradik - anak anak abang saya Abdullah.
Kakak mendapat jodoh dengan seorang jejaka tampan berasal dari Binjul, Baling. Majlis perkahwinan mereka direncana dan dilaksanakan secara gotong royong oleh abang dan kakak ipar saya di kediaman mereka di Kampung Padang Cempedak, Tasik Gelugor , Seberang Prai.
Hari bersejarah ini sungguh bermakna. Bukan saja kepada kedua mempelai tetapi semua sanak saudara yang terlibat. Pada hari seperti inilah masanya semua sanak saudara akan berhimpun. Dari Changlun, Sedim, Yan, Jitra - semua nya datang meraikan bersama.
Apa yang paling berkesan pada majlis kali ini ialah pertemuan dengan sepupu saya anak arwah Pak Anjang Ibrahim iaitu Che Nat yang tidak pernah saya temui sejak 35 tahun lalu. Seperti arwah bapanya, Che Nat sangat emosional. Berlinang airmatanya ketika melepaskan pelukannya yang sangat erat dan lama. Arwah Pak Anjang Ibrahim pun demikian lakunya setiap kali saya menziarahnya dulu.
Majlis berjalan lancar bebas ancaman cuaca dan makanan lebih dari mencukupi. Itu yang paling penting. Sebab itu abang dan kakak ipar saya memperuntukan dua ekor lembu sebagai lauk sehingga boleh dibekalkan pulang kepada semua jiran dan sanak saudara.
Saya cuma terkilan sikit dengan sikap pengantin kini. Mereka lebih utamakan sesi fotografi luar seperti di taman, sawah atau tepi sungai sebaik lepas makan. Tiada masa atau agenda beramah mesra dan berkenalan dengan sanak saudara yang datang dari jauh dan dekat seprti dulu dulu. Sekilas pandang mereka seolah mengenepikan saudara mara dan tidak menghormati ibubapa dan orang tua tua. Saya bersuara ini kerana mereka adalah anak saudara saya dan juga kerana simpati dengan kedua abang dan kaka ipar saya yang kecewa dengan senario ini. Saya sangat berharap agar ianya tidak berulang lagi. Moga anak anak menakan lain mengambil iktibar kerana apapun situasi , keluarga adalah di barisan hadapan.
Apa pun saya mengucapkan tahniah kepada Kakak dan suami. Beersedialah untuk berubah ke alam kehidupan berumahtangga. Kehidupan akan mula berubah selepas ini. Semoga Allah memberkati dan ingat pesan Pak Lang..jangan belakang kan kedua ibubapa..restu mereka perlu untuk mendapat keberkatan Allah azza wajalla dalam hidup berumahtangga.

No comments:

Post a Comment