Niat di hati tidak mahu pergi mesyuarat Agung Ulung itu. Kerana sudah lama rasa lesu hendak membantu pergiatkan aktiviti ALUMRA (Alumni Sekolah Menengah Jitra) ini kerana beberapa isu yang nampak macam mudah tetapi sebenarnya sukar di atasi. Bagaimanapun rasa tidak elok pulak melupuskan diri dengan cara begitu. Biar lah gentleman sikit. Maka atas asas itu saya paksakan diri menghiliri lebuhraya lebuhraya ibukota KL ini yang sememangnya tidak saya gemari kerana sentiasa berdepan masalah kesesakan trarik tahap 14.
Sebahagian agenda mesyuarat ialah memperkenalkan diri kepada sekelian ahli. Elok jugak kerana ada sebahagian kami memang pertama kali bertemu. Lagipun dengan cara itu ianya dapat memberi gambaran untuk kita mencalunkan sesiapa yang sesuai untuk mengambil aleh teraju. Selebihnya ia mungkin dapat menjalin rangkaian sosial dan niaga yang berbaloi untuk warga alumni sendiri.
Giliran saya pun tiba. Seseorang telah berminat mendengar stori saya. Dan banyak pulak dia bertanya. Peliknya, soalan soalan yang memaksa saya menjawab lebih personal dan spesifik. Akhir sekali dia ketawa berdekah dekah. Kebetulan memang dia ni pun kaki lawak juga dalam grup alumni dari kumpulan lebih senior dari saya atau pun grup piooner.
" Hang ni bukan oghang lain dengan aku. Kat pak hang aku panggay Pak Ngah. Tok nenek kita dua beradik. Hang ni dua pupu aku. Rumah hang tang pokok asam tu selalu aku pi masa kecik kecik dulu"
Rupa rupa nya seluas luas KL ni berjumpa juga saudara mara yang terpisah sejak 40 tahun dulu. Mungkin penyebabnya perhimpunan alumni sekolah yang telah ditakdirkan Allah.
Tiga hari kemudian dia telefon saya. Bertanya kabar tentang Abang Us Ngah Mah Tok Ndak Yah. Semua keluarga di Telok Gelam disebutnya satu persatu. Malah dia masih mengingati peristiwa anak Pak Ngah Saman di patuk ular kapak. Bila saya beritahu bahawa yang kena patuk itu lah saya, lagi lah dia ketawa berdekah dekah. Tak sangka..ha ha ha..dia masih ingat dengan jelas..
Nama dia Halim. Anak Mak Teh Limah yang duduk tepi sungai Kepala Batas. Ikut pangkat saya kena panggil abang terhadapnya. Lagi pun dia lebih senior. Abang Halim tersangkut sebelah tuk saya dari sebelah bapa kalau saya tidak silap. Kebanyakan mereka tinggal di tepi sungai Kepala Batas. Kebetulan juga saya sedang mengesan saudara mara untuk melengkapkan salasilah keluarga yang selalu bapa cerita dulu. Tentu penemuan Abang Halim ini sangat membantu dari susur galur keluarga bapak di tepi sungai itu.
No comments:
Post a Comment